Monday, April 25, 2011

CINTA GADIS DESA VS GADIS KOTA

CINTA sebagai satu kemestian. Adakala CINTA itu bermula pantas sekali dan perlahan-lahan. Dari pintu hati ia berbenang dan lama kelamaan segulung kasih tersimpul erat di dalam hati. CINTA perlu dipupuk supaya sentiasa segar dan kehijauan seperti dedaun yang berkilauan disirami cahaya pagi. CINTA itu terlalu indah. Seindahnya umpama sejambak bunga cantik, berwarna-warni, segar, harum dan wangi kalau kena gubahannya. Dan bunga yang dipilih daripada jenis yang subur dan baru mekar dari kelopak. Kalaulah kita pandai menggubahnya, semakin berserilah CINTA itu. Dan kalaulah tersalah gubahannya, CINTA yang diimpikan kurang berseri dan tiada keharuman menyelubungi suasana sukma. Tak siapa sudi menghargai CINTA yang diberikan.


Kesepian menjadikan CINTA semakin mendalam. CINTA daripada gadis yang pendiam dan pemalu adalah sifat sejati. Sifat pendiam dan malu membuatkan CINTA dari hatinya mengalir untuk yang satu. CINTA seorang gadis desa penuh dengan kesetiaan dan kejujuran. Hubungan sosialnya dengan kawan-kawan yang selalu terbatas menyebabkan dia hanya memadai mengenali yang diCINTAinya. Ditambah kesunyian suasana desa yang damai, terasing dan jauh dari kekalutan kota yang sentiasa palsu penuh kepuraan CINTA.


Di celah kehidupan kampung diselubungi sepi, CINTA menjadi fokus utama dalam hati seorang remaja desa. CINTA lahir dalam hati kerana kesunyian dan kesepian seringkali mengundang kepada kerinduan. Dari kerinduan menghasilkan pelbagai penyeksaan kerinduan batin dan CINTA itu adalah suci sekiranya dibatasi landasan syariat. CINTA seorang gadis desa penuh berliku dan melalui ranjau yang berduri. Tiada apa yang dapat menghiburkan hati melainkan sekeping potret sebagai penawar. Di waktu malam, dinginnya udara, bisunya alam dari bunyian dibilas dari samar-samar cahaya bulan mengundang soal CINTA mula bermain di hati.

Tiada teman berbicara, CINTA dalam hati cukup berkecamuk. Pelbagai anggapan dan tafsiran datang berombak-ombak bersama rasa kepiluan dalam hati. Mungkinkah yang diCINTAi tidak dapat dimiliki? Dari hari ke hari, CINTA kian bersemi dalam dakapan hari sewaktu berlari. Dalam diari perasaan diluahkan demi mencari kedamaian hati. Di taman sanubari CINTA telah bersatu untuk melakar hidup di alam yang diimpikan.

CINTA gadis kota pula jarang sekali kesetiaan dihargai dan senang tawar CINTAnya. Mudah hatinya bertukar dan berubah mengikut cita rasa. Kenangan yang dibina mudah bertiup pergi seumpama debu-debu kian berterbangan. Hubungan sosial yang luas memadamkan perasaan CINTA yang satu dan secara mendalam keasyikannya. Kesetiaan jarang dihormati kerana CINTA yang satu mengheningi tiada terpaut kukuh di dalam lubuk hati. Kesibukan waktu menyekat perasaan CINTA mengalir deras dalam belahan jiwa. Malah CINTA yang lahir senang mati apabila sesuatu yang terjadi di luar dugaan. Kemuncaknya dalam perCINTAan banyak perkara boleh berlaku. Apatah lagi keadaan trend kini 'one night stand' sudah menjadi perkara biasa untuk membuktikan CINTA bila sampai ke paras kemuncaknya.


Yang pasti menjadi lumrah kegagalan dalam menggapai CINTA akan membawa kesan secara tidak langsung kepada peribadi diri. Tahap kekuatan dalaman jiwa terpulang pada diri untuk menghadapi konflik perasaan yang sentiasa membayangi diri. Barangkali banyak sudah muncul watak Laila Majnun yang tidak diketahui umum. Dan barangkali juga dia berada di kanan dan kiri anda? Pandanglah manusia di sekeliling dengan mata hati dan mata kasar. Pasti anda akan temui sesuatu yang baru. Dan mungkin memberi makna. Tanyalah pada hati, renunglah pada sebutir bintang. Di manakah letaknya CINTA dalam kehidupan? Pandanglah pada senja, nescaya apa tersembunyi memberi makna. Dan kita pasti berasa akan NILAI SEBUAH CINTA…


No comments:

Post a Comment